MARQUE

* SELAMAT DATANG KE INFO MASJID * SEMOGA MEMBERI MANFAAT DAN PENGETAHUAN * SILA TINGGALKAN PESANAN

Masjid Ubudiyyah



Masjid Ubudiah ialah sebuah masjid di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak yang dianggap salah satu masjid terindah di Malaysia dan merupakan simbol kebanggaan dan kepercayaan untuk kaum Muslim di Perak. Kubah emas dan menara masjid adalah bukti dari keindahan senibina Islam. Masjid Ubudiah dirasmikan pembukaannya oleh Sultan Jalil Karamatullah Shah pada tahun 1917.

Dari segi latar belakang sejarahnya Masjid Ubudiah yang terletak berhampiran dengan Istana Iskandariah ini, adalah merupakan masjid nazar. Ia diasaskan oleh Sultan Idris untuk membayar nazar kerana baginda telah pulih dari penyakitnya. Semasa beristirahat dalam rawatan di Port Dickson, Negeri Sembilan, Sultan Idris Murshidul'adzam Shah I (1887-1916) telah bernazar untuk membina sebuah masjid di Bukit Chandan sekiranya kesihatan baginda pulih.

Setelah berangkat balik ke Kuala Kangsar, baginda telah menitah Kolonel Huxley dari Jabatan Kerja Raya, Kuala Lumpur, untuk mereka bentuk sebuah masjid yang hendak didirikan. Pembangunan Masjid Ubudiah bermula dari zaman Sultan Idris Murshidul Adzam Shah I, Sultan Perak ke-28.

Walau bagaimanapun pembinaannya telah tergendala apabila batu-batu marmar yang dibeli dari Negara Itali telah pecah dipijak oleh dua ekor gajah kepunyaan baginda dan Raja (Sir) Chulan Ibni Sultan Abdullah. Mengikut cerita dengan tidak semena-mena seekor gajah baginda bernama Kulub Chandan dan gembalanya bernama Kulup Sa'id telah berjuang dengan seekor gajah kepunyaan Raja Chulan bernama Kulub Gangga dan gembalanya bernama Uda Debok.

Perjuangan gajah itu telah melarat ke tempat simpanan batu marmar tersebut dan akibatnya, musnahlah batu marmar itu. Perjuangan gajah itu telah berlanjutan hingga berjam-jam lamanya, sehingga Raja Chulan sendiri datang, menyeru nama gajahnya dan memerintahkannya berhenti, maka barulah gajah itu berhenti berjuang, walaupun telah ramai orang yang cuba meleraikan gajah itu tetapi tidak berhasil.

Oleh sebab batu marmar itu telah musnah, maka terpaksalah dipesan semula dari Negara Itali. Tetapi malangnya, batu marmar yang dipesan itu telah lambat sampai oleh kerana cetusan Peperangan Dunia Pertama di Eropah. Batu marmar itu telah dibawa melalui Negara Afrika Selatan. Perbelanjaan pembinaan masjid ini adalah kira-kira $22,000.00.

Pada hari Jumaat, 26 September 1913, Sultan Idris Shah I, telah meletakkan batu asas masjid tersebut. Masjid ini telah siap dibina dan dibuka dengan rasminya oleh Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah (1916-1918.), Sultan yang ke-29, pada tahun 1917.

MASJID UBUDIYYAH







No comments:

Post a Comment